• PETUA:Wajah Berseri Di Hari Perkahwinan


Source taken & Approved by Author: Ensaiklopedia Petua Melayu Lama, Oleh Farit Ismeth Emir

Terdapat beberapa petua yang menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati yang bermanfaat untuk diamalkan oleh para bakal pengantin perempuan dalam melengkapi proses rawatan tradisional sebelum melangkah ke jinjang pelamin. Antara petua tersebut ialah:

Daun Sirih
30 hari sebelum hari perkahwinan – Ambil segenggam daun sirih yang agak besar saiznya dan rebuskan ia di dalam air putih buat beberapa minit sehingga warna air agak berubah kehijauan. Gunakan air rebusan tersebut untuk mencuci wajah anda setiap hari. Biarkan di muka seketika, kemudian bilaskan dengan air sejuk. Ia mampu mengelakkan jerawat atau ruam-ruam kecil di muka sekaligus menaikkan seri wajah.

Bunga Mawar
Untuk menaikkan seri muka, bakal pengantin boleh mengamalkan petua memakan kelopak bunga mawar selama 44 hari sebelum tarikh perkahwinan. Dahulukan dengan bacaan selawat ke atas nabi, Fatihah dan ayat Nabi Yusof sebelum memakannya.




Timun
Lekapkan mata dengan hirisan timun selama 1/2 jam. Petua ini juga dapat menghilangkan lebam pada bawah mata serta menghilangkan rasa lesu dan letih. Ia juga berguna untuk menegangkan otot bawah mata.


Lobak
  Lobak yang kaya dengan serabut dan vitamin E berfaedah bagi menghilangkan parut dan menaikkan seri muka. Ia turut sesuai untuk meningkatkan kelembapan pada kulit kering. Parutkan lobak dan ratakan pada wajah seperti mask. Biarkan untuk 1/2 jam

Tomato
Bagi masalah kulit kurang bermaya, gunakan tomato yang telah diasingkan bahagian dalamnya. Sapukan lendir dan biji di dalamnya pada seluruh wajah, lalu dibiarkan sehingga kering sebelum dibilas



Avocado
Bagi masalah kulit berminyak dan kandungan zat lemak berlebihan pada pipi serta wajah, anda boleh mencuba buah Avocado yang ditempek isinya pada seluruh wajah. Rawatan ini mampu menghalang tumbuhnya jerawat baru.


Limau Purut ( Kaffir Lime)
Bagi menghitamkan rambut dan menghilangkan kelemumur, sapukan hirisan limau purut pada rambut di kepala. Limau purut juga juga dapat mencantikkan kuku dengan menyapukan jusnya pada kuku secara kerap